Khamis, 21 September 2017

Kuthbah Jumaat 22 Sept 2017 N9

JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراو
جابتن حال احول اڬام إسالم نڬري سمبيلن دارالخصوص

TAJUK : “HIJRAH ATAU TETAP JAHILIYAH”
TARIKH: 22 SEPTEMBER 2017M / 1 MUHARRAM 1439H


SIDANG JUM‘AT YANG DIRAHMATI ALLAH ,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan ketaqwaan yang
sebenar, iaitu melakukan segala perintah Allah swt dan menjauhi segala
larangan-Nya. Peliharalah diri daripada melakukan perkara-perkara
yang dikhuatiri boleh merosakkan aqidah dan ibadah kita. Kehidupan
yang kita nikmati selama ini, seharusnya kita syukuri dengan
meningkatkan amal ibadah bagi memperkukuhkan lagi hubungan kita
dengan Allah swt serta mengeratkan hubungan kita sesama manusia.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang
memperolehi keredhaan Allah swt, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup
di dunia dan di akhirat.

Firman Allah swt di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103:


Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada agama
Allah, dan janganlah berpecah belah.


Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk
“HIJRAH ATAU TETAP JAHILIYAH”.

SIDANG JUM‘AT YANG DIMULIAKAN,

Islam muncul ketika manusia berada dalam kejahilan. Risalah Islam
yang pertama adalah untuk membetulkan aqidah masyarakat jahiliyah
pada masa itu sebelum datangnya syariat-syariat yang lain. Oleh kerana
manusia ketika itu tidak mentauhidkan Allah swt maka mereka
bergelumang dengan kemaksiatan dan keruntuhan akhlak.


Pensyariatan ibadah solat berlaku pada tahun ke -12 kerasulan. Puasa
dan zakat pula pada tahun ke-2 hijrah manakala ibadah haji disyariatkan
pada tahun ke – 9 hijrah. Justeru, apakah hikmah di sebalik semua ini?
Umat Islam sedia maklum bahawa Iqra’ adalah ayat pertama yang
diwahyukan ke atas Baginda saw. Ia merupakan suatu tanda bahawa
Allah swt memerintahkan manusia untuk membaca dan mencari ilmu
bagi menyingkirkan kejahilan yang ada di dalam diri.

SIDANG JUM‘AT YANG DIRAHMATI ALLAH ,

Jahiliyah adalah keadaan manusia sebelum datangnya hidayah dan
nabi. Kata dasarnya adalah al-Jahl yang bererti tidak tahu atau bodoh.
Di dalam al-Quran, kalimah jahiliyah membawa kepada beberapa
makna. Antaranya adalah:

Pertama : Keraguan kepada Allah swt.
Perkara ini terkandung dalam ayat 154 Surah Ali ‘Imran:


Maksudnya: Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang
mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman
tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada
kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain
yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah
dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang
jahiliyah.

Keraguan inilah yang dialami oleh orang munafik selepas tentera muslim
kalah dalam Perang Uhud. Mereka yakin kemenangan kaum musyrik
dalam Perang Uhud menunjukkan agama Islam sudah berakhir. Mereka
adalah orang yang ragu-ragu. Apabila terjadi peristiwa yang tidak
menyenangkan, muncul sangkaan-sangkaan buruk kepada Allah swt.

Kedua : Sombong, iaitu perasaan meninggi diri sehingga tidak
mahu menerima kebenaran.

Allah swt berfirman di dalam Surah al-Fath ayat 26:


Yang bermaksud: (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada
kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan
sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran
Islam) perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan
kamu panas hati dan terharu)...

Sifat sombong seperti yang disebutkan dalam ayat inilah yang tertanam
kuat di hati orang musyrik Makkah, sehingga semasa Perjanjian
Hudaibiyah, mereka menolak kalimah Basmalah bagi memulakan surat
perjanjian dan juga menolak kata Rasulullah sebagai sifat Muhammad
yang menyetujui perjanjian itu.

Ketiga : Berhukum dengan hukum selain yang ditetapkan oleh
Allah swt  sepertimana dalam Surah al-Maidah ayat 50:


Maksudnya: Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada
hukum-hukum jahiliyah? Pada hal - kepada orang-orang yang penuh
keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih
baik daripada Allah.

Di dalam ayat ini, Allah swt tidak mengiktiraf orang yang tidak mahu
mengikuti hukum-Nya yang jelas, yang meliputi semua bentuk kebajikan
dan melarang semua bentuk keburukan, malah orang itu beralih
mengikuti pendapat yang dibuat oleh manusia, mentaati keinginan dan

erti kata lain yang tidak bersandarkan syariat Allah swt seperti hukum-
hukum buatan orang jahiliyah yang penuh dengan kesesatan dan
kebodohan.

SIDANG JUM‘AT YANG BERBAHAGIA,

Segelintir manusia pada hari ini hanya mementingkan kehidupan di
dunia sahaja tanpa mengambil kira kehidupan yang kekal abadi di
akhirat kelak. Ia memberi gambaran betapa jahilnya mereka terhadap
agama mereka.


Allah swt berfirman di dalam Surah ar-Ruum ayat 6-7 :


Maksudnya: Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah
janji-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya). Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata
daripada kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat
hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.

Imam Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat yang ketujuh itu mengatakan:
“Kebanyakan manusia seolah-olah tidak mempunyai ilmu kecuali ilmu
dunia dengan segala perihalnya. Mereka bijak dalam hal keduniaan,
tetapi mereka lalai dan jahil terhadap perkara-perkara agama dan yang
memberi manfaat di akhirat. Mereka dalam hal ini bagai tidak
mempunyai akal dan fikiran.”

Justeru, untuk mengelakkan diri kita terjerumus ke lembah kejahilan ini,
maka mimbar pada hari ini menyeru sidang jemaah sekalian agar
menghijrahkan diri kita menjadi muslim yang berilmu.

SIDANG JUM‘AT YANG DIRAHMATI ALLAH swt,

Kita perlu berhijrah daripada keadaan yang tidak baik kepada yang baik
dan juga daripada keadaan baik kepada yang lebih baik dengan niat
semata-mata mengharapkan redha dan rahmat Allah . Berazamlah di
dalam diri untuk meningkatkan ilmu serta amal ibadah kita kepada Allah swt.
Dalam masa yang sama kita hendaklah meninggalkan segala
perkara yang dilarang oleh Allah swt. Ini bertepatan dengan sabda
Rasulullah saw yang bermaksud “Orang yang berhijrah itu adalah
orang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah swt.”
(Hadith riwayat at-Tabrani dan Ibn Hibban)

Berhijrahlah selagi peluang masih ada. Sabda Rasulullah saw:

Maksudnya: Kewajipan berhijrah tidak terputus selama taubat masih
diterima, dan taubat tidak terputus sehingga matahari terbit dari barat.
(Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad)

SIDANG JUM‘AT YANG DIRAHMATI ALLAH swt,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama-sama kita renungkan
beberapa perkara penting sebagai peringatan;

1. Islam menuntut umatnya agar berhijrah daripada keadaan yang
tidak baik kepada yang baik dan juga daripada keadaan baik
kepada yang lebih baik.

2. Keraguan terhadap Allah swt, sombong sehingga menafikan
kebenaran dan menolak hukum-Nya adalah antara perkara yang
perlu kita jauhi kerana boleh membatalkan aqidah.

3. Dunia yang mencabar pada hari ini memerlukan umat Islam yang
berilmu dan beramal untuk mempertahankan kesucian agama
Islam.

Firman Allah  dalam Surah an-Nisa’ ayat 100:

Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk
membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka
bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur, dan
sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada
Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka
sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah)
Allah amat pengampun, lagi amat mengasihani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan